Sunday, June 3, 2007

RETORIK PENGUCAPAN DAKWAH: Tn Guru Nik Abd Aziz B Nik Mat

PENDAHULUAN
Istilah “retorik” pada pengertian popular dikaitkan dengan makna yang negatif, iaitu apa-apa yang dikatakan sebagai retorik kosong, iaitu ucapan yang muluk-muluk tanpa isi kandungan yang bernas. Pengertian ini sering dihubugkaitkan dengan ahli politik atau mereka yang suka berjanji demi mendapatkan sesuatu tetapi tidak pernah menunaikannya. [1]
Retorik secara ilmiah adalah mempunyai maksud yang disebaliknya. Retorik umumnya ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Selain itu, retorik juga diertikan sebagai seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar.[2]

FAKTOR PEMILIHAN TOKOH
Penulis memilih tokoh ini kerana penulis merasakan bahawa beliau (Tok Guru) mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan dalam menyampaikan dakwah. Tok Guru dikagumi oleh penulis sejak penulis di zaman kanak-kanak lagi, ini kerana bapa penulis sangat gemar mengumpul CD dan kaset-kaset Tok Guru. Rentetan daripada itu, penulis juga secara beransur-ansur telah mula meminati pengucapan Tok Guru.
Ketika itu, penulis sangat bercita-cita untuk bersua dengan Tok Guru pada suatu masa nanti. Maka, dengan rahmat dan inayahNya, penulis telah dipermudahkan jalan apabila dapat melanjutkan pelajaran ke Akademi Pengajian Islam (program asasi) Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan.
Bagaikan tidak percaya, akhirnya penulis dapat juga menjejakkan kaki ke bumi Serambi Mekah itu. Penulis tidak dapat membohongi diri lagi bahawa beliau sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik hati sesiapa sahaja yang mendengar pengucapannya.
RETORIK PADA “TOK GURU”
Ucapan tanpa retorik akan kedengaran mendatar dan akhirnya tidak meninggalkan kesan di jiwa khalayak. Bagi Aristotle, retorik tidak lain daripada “kemampuan untuk menentukan, dalam kejadian tertentu dan situasi tertentu, metode persuasif yang ada”. Pada tahap ini juga, pembicara merumuskan tujuan dan pengumpulan bahan (argument) yang sesuai dengan kehendak khalayak.[3]
Aristotle telah memperkenalkan tiga kaedah untuk mempengaruhi manusia melalui pidato iaitu ethos, pathos, dan logos. [4] Oleh yang demikian, melalui pengkajian, penulis melihat bahawa elemen-elemen tersebut telah dimiliki oleh Tok Guru dan beliau mengaplimentasi ketiga-tiga elemen tersebut dalam setiap pengucapan dakwah beliau.
1)ETHOS
Aristotle membicarakan ethos dengan mengakui potensi persuasif karakter pengucap atau kredibiliti peribadi seseorang pengucap[5] (pendakwah). Oleh itu, penulis mengakui bahawa Tok Guru mempunyai daya penarik diri yang amat tinggi melalui perwatakkannya yang sederhana serta mudah diterima oleh khalayak.
Selain itu, tiga cara yang diadaptasi melalui ethos oleh Tok Guru ialah pertama, dengan mengisyaratkan bahawa beliau berpengalaman luas[6] tentang perkara yang diperkatakan seperti dalam kebanyakkan pengucapan beliau. Tok Guru amat gemar bercerita dengan menggambarkan dirinya dalam sesuatu perkara untuk lebih difahami oleh khalayak. Contohnya;
“ Kita orang kampong(Malaysia), khasnya (terutama) orang Melayu terkebelakang benar dari segi ilmu, kita hanya tahu bertopok (tertumpu) pada hal feqah, tauhid, tafsir, tapi tak (tidak) tahu ilmu sejarah Nabi S.A.W ”
Keduanya ialah Tok Guru telah dikenali oleh masyarakat setempat sebagai seorang yang jujur dan dipercayai, selain itu Tok Guru juga mempunyai reputasi [7] yang baik sebagai individu yang terhormat sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga telah mendapat gelaran “Tok Guru” daripada masyarakat sendiri.
2)PATHOS
Pathos merujuk kepada rayuan emosi. Menurut Aristotle, bagi memujuk manusia, kita perlu merayu kepada emosi.[8] Pada pengkajian penulis, Tok Guru seringkali dapat mempengaruhi khalayak dengan menyentuh hati mereka dengan membangkitkan emosi dan perasaan kasih, simpati, harapan, semangat perpaduan dan seumpamanya.
Pengucapan dakwah beliau turut menggunakan intonasi dan nada suara turun naik yang seimbang dan sesuai pada sesuatu keadaan. Tambahan pula penggunaan “body language” dan mimik muka beliau menampakkan bahawa Tok Guru benar-benar menjiwai dan menghayati sesuatu perkara yang hendak disampaikan.
3)LOGOS
Penggunaan logos (logik) adalah amat penting dalam membentangkan sesuatu hujah, bukti atau dalil dalam menjelaskan sesuatu perkara. Penulis mengkagumi Tok Guru kerana beliau mampu berhujah dengan ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menjadi bukti kukuh dan tepat. Tok Guru juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam segenap bidang seperti ekonomi, politik, sosial, dan isu-isu semasa sains dan tekonologi.
Selain itu, seperkara yang menjadi kelaziman Tok Guru ialah menggunakan perumpamaan yang indah dan tepat [9] sesuai dengan tahap khalayak. Contoh-contoh yang dibawa juga seringkali berkisar tentang keadaan masyarakat setempat supaya lebih mudah difahami dan diterima pendengar.

BIODATA TOKOH [10]

NAMA : TUAN GURU DATO’ HAJI
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT.
TAHUN KELAHIRAN : 1931
TEMPAT KELAHIRAN : KG. PULAU MELAKA
BILANGAN ADIK BERADIK : 8
ANAK KE- : 3

PENDIDIKAN AWAL :
1. SEK. KEB. KEDAI LALAT
2. SEK. PONDOK KELOLAAN TOK KENALI (KUBANG KERIAN)
3. PENGAJIAN PONDOK (JERTEH, BESUT)

PENDIDIKAN TINGGI :
1. UNIVERSITI DEOBAND, INDIA

2. IJAZAH SARJANA MUDA (B.A) PENGAJIAN BAHASA ARAB.
(UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR)
3. IJAZAH SARJANA (M.A) KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN ISLAM
(UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR)

NAMA AYAH : HJ. NIK MAT B. RAJA BANJAR.

NAMA IBU : CIK AMINAH BT MAJID.

NAMA ISTERI : TUAN SABARIAH BT TUAN ISHAK.

KERJAYA : MENTERI BESAR KELANTAN
[1] Lim Kim Kui. (Januari, 2007). Retorik ketakutan dan bahasa politik Amerika.Dewan Bahasa.7(1), 10-11.
[2] Dewan Bahasa dan Pustaka. (2002). Kamus Dewan (Edisi ketiga). Kuala Lumpur: DBP.
[3] Jalaluddin Rakhmat. (1999). Retorika modern: pendekatan praktis. Bandung: Penerbit PT Remaja Rosdakarta. hlm.6-7
[4] Ahmad Zahid Hamidi. (2004). Pidato politik: menjadana kredibiliti mendepani khalayak. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. hlm.5-7
[5] Lim Kim Kui. (Januari, 2007). hlm.11
[6] A’ishah Zaharah Ali, (Januari, 2007). Retorik dalam ucapan. Dewan Bahasa.7(1), 28-29.
[7] Ibid.
[8] Lim Kim Kui. (Januari, 2007). hlm.11
[9] Mohd Nasir Awang. (1991 ). Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat: inspirasi kebangkitan ummah Serambi Mekah. Kota Bharu: Urusetia PeneranganKerajaan Negeri Kelantan . hlm. 42-44.
[10] Jamal Mohd Lokman. (1999). Biografi Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz. Selangor: SULFA Human Resources & Development

No comments: